Saturday, November 27, 2010

HBMT 2103: MENYUKAT ISIPADU CECAIR TAHUN 2

PENGENALAN

Kelemahan murid-murid dalam menguasai matematik merupakan isu utama dalam pendidikan negara pada masa kini. Ramai di kalangan murid-murid yang merasakan matematik sebagai sesuatu matapelajaran yang sukar difahami, menjemukan dan jarang memberi makna secara langsung kepada mereka. Sukatan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) menjelaskan bahawa pengajaran dan pembelajaran matematik hendaklah merupakan suatu pengalaman yang seronok dan mencabar bagi semua murid. Pengajaran dan pembelajaran sebagai suatu pengalaman, yang jarang diberi penekanan oleh guru telah menyebabkan murid-murid lemah dalam penguasaan pemikiran matematik dan kefahaman konsep.
Isipadu cecair ialah berapa banyak ruang yang dipenuhi oleh bekas berbentuk tiga dimensi. Isipadu sesuatu bekas umumnya difahami sebagai kapasiti bekas tersebut. Isipadu cecair dapat diukur dengan menggunakan alat-alat yang seragam seperti cawan, gelas, botol dan sebagainya. Alat-alat ini adalah tidak mengikut unit piawai. Contohnya, jika satu jag dapat diisi dengan 7 gelas air, maka isipadu jag ialah 7  gelas. Unit ukuran tidak mengikut unit piawai ini mula-mula diperkenalkan kepada murid tahun dua. Apabila mereka telah mahir di dalam mengukur isipadu cecair, barulah diperkenalkan unit piawai.  Silinder penyukat ialah alat yang digunakan untuk  menyukat isipadu cecair mengikut unit piawai. Unit piawai bagi isipadu cecair yang diperkenalkan kepada murid tahun dua hanyalah  liter ( l ) sahaja.Unit mililiter (ml) hanya diperkenalkan di tahun tiga.

TAYANGAN VIDEO




         Salah tanggapan terhadap isipadu cecair di kalangan murid - murid semasa menganggar isipadu cecair terutama apabila membandingkan isipadu bagi dua bekas yang berbeza saiz dan bentuk. Murid biasanya melakukan perbandingan ke atas ketinggian yang akan  menampung lebih muatan. Walau bagaimanapun, seseorang guru perlu berhati - hati dalam menerangkan tentang kapasiti kepada kanak - kanak kerana ada di antara mereka yang tersalah konsep terhadap kapasiti. Misalnya jika mereka membuat perbandingan isipadu air antara bekas A dan bekas B seperti gambar di bawah, mereka akan mengatakan yang bekas A mempunyai isipadu air yang tinggi kerana bekas tersebut tinggi walau pun pada hakikatnya bekas B yang mempunyai isipadu yang lebih.
                                                                                          
 
           

Bekas A








     Bekas B                                                



 Oleh itu, cara yang terbaik ialah mengkaji kapasiti menggunakan perbandingan langsung.          Kekeliruan murid yang jelas semasa menyukat dan membanding isipadu cecair ialah bila murid membanding beza menggunakan bekas yang berbeza daripada segi saiz dan bentuk.


BAHAN BANTU MENGAJAR
Untuk menyiasat kekeliruan ini guru boleh menyuruh murid membawa pelbagai bekas untuk aktiviti di dalam kelas. Bahan yang perlu dibawa oleh murid itu seperti botol air mineral, bekas air, gelas,  cawan, mug, botol susu dan sebagainya yang dapat menyimpan air di rumah atau sekolah. Bahan yang dibawa oleh murid itu adalah yang  mudah didapati kerana bahan tersebut digunakan di dalam kehidupan seharian mereka, harga adalah murah dan kualiti memuaskan. Murid juga boleh menggunakan cawan plastik atau cawan kertas yang terpakai untuk aktiviti yang hendak dijalankan. Ini  boleh menjimatkan kos dalam penyediaan bahan untuk bantuan mengajar. Guru juga perlu menyediakan  bekas yang digunakan di dalam kehidupan seharian.

Sebagai seorang guru, kita haruslah mengetahui bahan bantu mengajar (BBM) amat penting dalam pengajaran terutamanya bagi murid-murid tahap 1. Maka, sebelum memulakan sesuatu pengajaran , rancangan yang dirancang dan BBM yang digunakan mesti berpandukan kepada kesesuaian tahap murid.  Matlamat isi kandungan dalam pengajaran juga perlu dititikberatkan . Dalam menjalankan pengajaran kemahiran isipadu cecair, BBM yang digunakan untuk  menerangkan konsep isipadu cecair amat penting. Ciri-ciri sesuatu BBM yang dipilih mesti memikirkan ia senang didapati, menarik dan ekonomi.  Bahan-bahan seperti ini bukan sahaja ekonomi dan senang didapati, ia juga bahan konkrit yang senang dilihat dan mudah difahami oleh murid-murid. Justeru, murid yang lemah akan senang faham apa yang disampaikan oleh guru kerana bahan-bahan seperti ini lebih kerap dilihat dalam kehidupan harian .

Saya  memilih bahan-bahan sukatan yang tiada unit piawai untuk memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam memperkenalkan isipadu cecair bagi murid tahap rendah. Seperti yang kita sedia maklum, bahan-bahan buangan ini senang didapati dan menyenangkan guru semasa menyampaikan pengajaran. Murid-murid boleh membawa bahan- bahan ini kerana ianya ada kaitan dengan kehidupan seharian mereka. Bagi murid-murid tahap tinggi, mereka juga diperkenalkan konsep isipadu cecair ini menggunakan bahan bahan-bahan sukatan yang tiada unit piawai. Setelah mereka betul-betul mahir, barulah diperkenalkan ukuran mengikut unit piawai iaitu liter ( l ) dengan alat penyukat seperti silinder penyukat yang muatannya setiap satunya adalah 1 liter. Ini adalah asas untuk mengajar murid tahun 2 menyukat isipadu air.



AKTIVITI PENGAJARAN UNTUK SEMUA TAHAP MURID.
        
Setiap proses pengajaran dan pembelajaran yang dirancang oleh guru, seharusnya memikirkan kepentingan murid. Aktiviti yang dirancang perlulah mengikut  tahap murid, berkaitan dengan pengetahuan sedia ada murid dan BBM yang menarik perhatian boleh  memberangsangkan deria mereka semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti yang menyeronokkan membolehkan murid-murid mudah memahami apa yang ingin disampaikan disamping mengekalkan pengetahuan tersebut dalam memori mereka sekaligus membetulkan masalah salah  konsep dalam diri murid-murid tersebut.



AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MURID TAHAP RENDAH (MURID LEMAH )

Kemahiran                   :           Mengukur dan membandingkan isipadu cecair dengan
                                                menggunakan unit bukan piawai.

Pengetahuan sedia ada :          Murid-murid sudah pandai menyukat isipadu air menggunakan unit bukan piawai kerana telah diajar oleh guru terlebih dahulu.
                    
Hasil Pembelajaran      :           Di akhir pembelajaran, murid dapat  membandingkan isipadu
cecair di dalam bekas yang berlainan bentuk dan saiz.

Alat Bantu Mengajar:             Pelbagai jenis bekas seperti, gelas kecil, mug, bekas air , botol
                                                air mineral, mangkuk, botol susu dan cecair yang berwarna.




Aktiviti:

1.      Guru membahagikan murid kepada beberapa kumpulan , Setiap kumpulan mesti memilih seorang ketua kumpulan ,seorang pengadil dan  seorang pencatat.
2.      Sebelum aktiviti ini dimulakan, guru memberi kepada setiap kumpulan satu bekas air yang tinggi bertanda A, satu mangkuk bertanda B dan beberapa biji gelas kecil seperti gambar di bawah.






3.      Guru mengisi bekas A dan mangkuk B dengan air yang berwarna merah seperti gambar di bawah.




4.      Guru menyoal murid bekas mana yang mengandungi banyak air. Kebanyakan murid meneka bekas A mengandungi banyak air kerana ia lebih tinggi.

5.      Guru memberitahu murid bahawa untuk mengetahui bekas mana yang mengandungi lebih banyak air, seorang murid dari setiap kumpulan menuang air dalam bekas A ke dalam gelas-gelas kecil itu sehingga semua  air tersebut habis. Seorang lagi murid dari setiap kumpulan tadi  menuang air dalam bekas B ke dalam gelas-gelas kecil itu sehingga semua  air tersebut habis.Hasilnya didapati seperti gambar di bawah.







6. Hasil daripada aktiviti di atas didapati bekas A mempunyai 3 gelas air dan mangkuk B mempunyai lebih daripada 4 gelas air. Ini menunjukkan mangkuk B yang lebih rendah  mempunyai lebih banyak air berbanding bekas A yang lebih tinggi.

7. Guru menegaskan kepada murid bahawa tidak semestinya bekas yang kelihatan tinggi mempunyai isipadu air yang lebih. Walaupun bekas A tinggi, tetapi lebarnya kurang berbanding mangkuk B yang rendah tetapi lebih lebar .

8.      Guru menegaskan bahawa isipadu cecair tidak bergantung kepada ketinggian bekas.

9.      Aktiviti kumpulan diteruskan lagi dengan membandingkan isipadu air di dalam botol air mineral dengan isipadu air di dalam mangkuk. Hasilnya murid mencatat bilangan gelas seperti di bawah.


Bil
Bekas
Bilangan gelas
1
Botol air mineral
5
2
Mangkuk
6


10.  Aktiviti kumpulan diteruskan lagi dengan membandingkan isipadu air di dalam mug dengan isipadu air di dalam botol susu. Hasilnya murid mencatat bilangan gelas seperti di bawah.

Bil
Bekas
Bilangan gelas
1
Mug
2
2
Botol susu
1

11.  Hasil daripada kedua-dua aktiviti, murid menyatakan bahawa isipadu air di dalam mangkuk adalah lebih banyak berbanding dengan botol mineral. Begitu juga dengan isipadu air di dalam mug adalah lebih banyak berbanding dengan botol susu walaupun botol susu kelihatan lebih tinggi.

12.  Sekali lagi guru menegaskan bahawa isipadu air di dalam sesuatu bekas tidak bergantung kepada ketinggian bekas tetapi perlu juga dilihat pada kelebaran bekas tersebut.

13.  Guru meminta murid membandingkan isipadu antara kesemua bekas tadi dengan mengisi jadual seperti di bawah dan menyusun bekas-bekas yang berbagai bentuk dan saiz tadi mengikut yang urutan dari yang isipadu yang sedikit kepada yang banyak.


BIL
BEKAS
BILANGAN GELAS
1.
Botol susu
1
2.
Mug
2
3.
Bekas air A
3
4.
Bekas B
4
5.
Botol air mineral
5
6.
Mangkuk
6

14.  Murid dalam setiap kumpulan menyusun bekas bermula dengan botol susu,kemudian mug,bekas air A,bekas B, botol air mineral dan mangkuk yang paling banyak isipadu air.
15.  Murid faham bahawa tidak semestinya bekas yang tinggi mempunyai isipadu air yang banyak.




AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MURID TAHAP TINGGI (MURID CERDIK )

Kemahiran                   :          Mengukur dan membandingkan isipadu cecair dengan
menggunakan unit piawai.

Pengetahuan sedia ada :          Murid-murid sudah pandai menyukat isipadu air menggunakan
unit piawai iaitu liter (l) kerana telah diajar oleh guru terlebih dahulu.
                    
Hasil Pembelajaran      :           Di akhir pembelajaran, murid dapat  membandingkan isipadu
                                                cecair di dalam bekas yang berlainan bentuk dan saiz.

Alat Bantu Mengajar  :           Pelbagai jenis bekas seperti bekas A, B, C, D, jug, periuk dan
cecair yang berwarna serta alat menyukat isipadu mengikut unit piawai iaitu beberapa biji silinder penyukat.


Aktiviti            :

1.      Guru membahagikan murid kepada beberapa kumpulan.  Setiap kumpulan mesti memilih seorang ketua kumpulan ,seorang pengadil dan  seorang pencatat.

2.      Sebelum aktiviti ini dimulakan, guru memberi kepada setiap kumpulan satu bekas air yang tinggi bertanda A, satu bekas bertanda B dan beberapa biji alat penyukat isipadu air mengikut unit piawai iaitu silinder penyukat seperti gambar di bawah. Satu silinder penyukat ini mempunyai muatan air 1 liter sahaja.
                                                                 


                                                                  Silinder penyukat

3.      Guru menyoal murid bekas yang mana mengandungi lebih banyak isipadu air. Semua murid menjawab bahawa bekas A mempunyai isipadu air yang lebih banyak kerana didapati bekas tersebut ( bekas A ) lebih tinggi berbanding bekas B. Salah seorang murid mengambil bekas A dan menuang cecair berwarna yang ada di dalam bekas A ke dalam beberapa silinder penyukat. Seorang murid lain mengulangi aktiviti yang sama dengan menuang air dari bekas B ke dalam beberapa silinder penyukat.  Hasil yang didapati dicatat seperti di bawah.

Bil
Bekas
Bil silinder penyukat
Isipadu Air (l)
1
Bekas A
6
6 liter
2
Bekas B
7
7 liter
                                                                                                                                   


4.      Di sini, guru membimbing murid sekali lagi tentang cara membaca isipadu menggunakan alat penyukat mengikut unit piawai satu silinder penyukat bersamaan 1 liter. Jadi jika 6 silinder bersamaan 6 liter. Begitulah seterusnya.

5.      Hasil daripada aktiviti di atas didapati bekas A mempunyai 6  liter air dan bekas B mempunyai 7 liter air. Ini menunjukkan bekas B yang lebih rendah  mempunyai lebih banyak air berbanding bekas A yang lebih tinggi. Guru menegaskan kepada murid bahawa tidak semestinya bekas yang kelihatan tinggi mempunyai isipadu air yang lebih. Walaupun bekas A tinggi, tetapi lebarnya kurang berbanding bekas B yang rendah tetapi lebih lebar.

6.      Guru menegaskan bahawa isipadu cecair tidak bergantung kepada ketinggian bekas.

7.      Aktiviti kumpulan diteruskan lagi dengan membandingkan isipadu air di dalam jug dengan isipadu air di dalam periuk. Hasilnya murid mencatat isipadu seperti di bawah.




Bil
Bekas
Bil silinder penyukat
Isipadu Air (l)
1
Jug
4
4 liter
2
Periuk
5
5 liter


8.      Aktiviti kumpulan diteruskan lagi dengan membandingkan isipadu air di dalam bekas C dengan isipadu air di dalam bekas D. Hasilnya murid mencatat isipadu air seperti di bawah.

Bil
Bekas
Bil silinder penyukat
Isipadu Air (l)
1
Bekas C
3
3 liter
2
Bekas D
2
2 liter


9.      Hasil daripada kedua-dua aktiviti, murid menyatakan bahawa isipadu air di dalam periuk adalah lebih banyak berbanding dengan isipadu air di dalam jug. Begitu juga dengan isipadu air di dalam bekas C adalah lebih banyak berbanding dengan isipadu air di dalam bekas D walaupun bekas D kelihatan lebih tinggi .

10.  Sekali lagi guru menegaskan bahawa isipadu air di dalam sesuatu bekas tidak hanya bergantung kepada ketinggian bekas tetapi perlu juga dilihat pada kelebaran bekas tersebut.

11.  Guru meminta murid membandingkan isipadu antara kesemua bekas tadi dengan mengisi jadual seperti di bawah dan menyusun bekas-bekas yang berbagai bentuk dan saiz tadi mengikut yang urutan dari yang isipadu yang sedikit kepada yang banyak.

BIL
BEKAS
BIL.SILINDER PENYUKAT
ISIPADU AIR (l)
1.
Bekas D
2
2 liter
2.
Bekas C
3
3 liter
3.
Jug
4
4 liter
4.
Periuk
5
5 liter
5.
Bekas A
6
6 liter
6.
Bekas B
7
7 liter

12.  Murid dalam setiap kumpulan menyusun bekas bermula dengan bekas D ,kemudian bekas C, jug, periuk, bekas A, dan bekas B yang paling banyak isipadu air.
                    




       13.  Murid faham bahawa tidak semestinya bekas yang tinggi mempunyai isipadu air yang banyak.


KESIMPULAN
Penglibatan murid-murid secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran akan memberikan pengalaman secara langsung dan akan memberi kesan pembelajaran yang lebih baik. Murid-murid akan lebih ingat apa yang dialami daripada hanya melihat gambar rajah dan mendengar penjelasan guru sahaja. Dengan ini, tidak timbul masalah tersalah konsep murid terhadap kapasiti cecair dalam bekas-bekas yang berlainan saiz dan bentuk. Dengan memperoleh konsep yang betul dan jelas, murid-murid adalah lebih mudah menguasai kemahiran-kemahiran mengenai penyukatan isipadu cecair dan dapat menganggar kapasiti bekas dengan lebih tepat.
Bagi murid tahun dua,  kapasiti yang diukur adalah menggunakan unit bukan piawai dan juga unit piawai iaitu  liter ( l )  di dalam sistem metrik. Bagi pengajaran isipadu cecair  ia boleh dibuat secara perbandingan persepsi, langsung dan tidak langsung.Daripada aktiviti pengajaran yang dilakukan murid akan dapat mengenalpasti berapa banyak kandungan air yang dapat di isi ke dalam setiap bekas. Bekas yang besar akan mengandungi lebih banyak air atau  kuantiti gelas. Walaubagaimanapun yang paling penting ialah kuantiti atau sukatan air yang sama akan kelihatan berbeza jika saiz bekas tidak sama. Ini akan dapat diketahui murid jika mereka menggunakan sukatan unit bukan piawai seperti gelas  dan juga unit piawai seperti silinder penyukat yang mempunyai ukuran yang tertentu. Murid akan dapat membandingbezakan sukatan isipadu cecair dalam bekas yang berlainan.. Apa yang penting ialah kuantiti atau sukatan air yang sama akan kelihatan berbeza jika saiz dan bentuk bekas tidak sama.




BIBLIOGRAFI

1 .Seng .MS ( 2004) Ilmu Pendidikan Untuk KPLI  Subang Jaya, Kumpulan Budiman Sdn.
   Bhd.

2.  Prof. Madya Dr. Lim Chap Sam , Prof. Madya Dr.    Fatimah Salleh . (2004) . Alat Bantu Mengajar  Matematik Kuala Lumpur : PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.

3.  Huraian Sukatan Pelajaran Matematik Tahun 2 . (2003)

4Mok Soon Sang, Siew Fook Cheong.(1986). Pengajaran dan Pembelajaran Matematik . Kuala Lumpur: Longman Malaysia Sdn. Bhd.

5. Murugiah s/o Velaytham dan Kao Thuan Keat(,2010). HBMT2103 Teaching Mathematics in Year Two.OUM, Selangor.
6. http://www.youtube.com/watch?v=ih-Jny73DUg : Measuring Capacity - Iken Library .(2007)